Isnin, 4 Mei 2009

Muhyiddin Belum Puas Hati Dengan Kajian PPSMI


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau masih belum berpuas hati dengan hasil kajian yang dilakukan termasuk sesi perbincangan meja bulat mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersedia memberi masa lebih panjang kerana apa jua keputusan kerajaan terhadap isu berkenaan adalah kritikal.

"Kami tidak mahu dilihat sebagai tidak konsisten (flip-flop) dalam perkara ini. Kami perlu melihat lebih banyak maklum balas. Tetapi melihat kepada kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa badan bebas, hasilnya tidak sama dengan perbincangan meja bulat yang diadakan.

"Kadang kala semasa perbincangan meja bulat, orang ramai tidak mempunyai fakta dan bukti. Mereka bercakap berasaskan kepada apa yang mereka rasa. Mereka mestilah menyokong pendapat dengan banyak fakta dan bukti sama ada perlu dilakukan perubahan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.