Memaparkan catatan dengan label Berita Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Pendidikan. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Disember 2009

Yuran Makan Asrama Naik

Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my


Kos RM3 sehari untuk ibu bapa pendapatan lebih RM5,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Yuran makan asrama bagi pelajar yang ibu bapa atau penjaga mereka berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 mulai tahun depan.

Kenaikan 200 peratus itu membabitkan murid di asrama harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan, sekolah seni dan sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.

Ia sebahagian daripada strategi dan langkah penjimatan Kementerian Pelajaran selepas peruntukan bantuan persekolahan pada tahun depan dikurangkan berbanding tahun sebelum ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata selain itu, bilangan hari bagi bayaran yuran makan asrama turut dikurangkan sebanyak 50 hari daripada 250 kepada 200 hari.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa atau penjaga dengan jumlah pendapatan RM4,999 sebulan ke bawah kekal RM1 sehari.

"Murid di asrama sekolah pendidikan khas kekal dikecualikan daripada membayar yuran makan dengan bilangan hari dikurangkan daripada 270 kepada 220 hari.

"Asrama murid Orang Asli, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), asrama desa dan asrama di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga dikecualikan daripada membayar yuran makan dengan bilangan hari dikurangkan daripada 250 kepada 200 hari," katanya dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2009 berhubung pindaan yuran makan asrama yang disiarkan di laman web Kementerian Pelajaran semalam.

Alimuddin berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Menteri Pelajaran dan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran pada 30 Oktober lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Haili Dolhan, ketika dihubungi berkata, kenaikan itu tidak membebankan ibu bapa atau penjaga kerana ia hanya membabitkan pelajar daripada keluarga yang berpendapatan tinggi.

"Langkah ini akan mengurangkan bayaran subsidi kerajaan untuk yuran makan dan pada masa yang sama, ibu bapa yang berkemampuan boleh memberikan sumbangan.

"Walaupun yuran dinaikkan, subsidi kerajaan bagi makanan di asrama sebenarnya masih tinggi kerana peruntukan bayaran makan bagi seorang pelajar adalah antara RM8 hingga RM12 sehari," katanya.

Beliau berkata, bilangan hari bagi pembayaran yuran makan untuk semua jenis asrama dikurangkan 50 hari selepas menolak semua hari cuti, termasuk cuti kelepasan am dan peruntukan cuti hujung minggu untuk pelajar pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, jika subsidi makan yang diperuntukkan kerajaan untuk mana-mana asrama tidak mencukupi berikutan hari pelajar berada di sekolah melebihi daripada hari yang ditetapkan, pihak sekolah boleh memohon peruntukan tambahan.

Sumber: Berita Harian Online

Khamis, 10 Disember 2009

Dasar Baru Sains Dan Matematik Martabatkan BM Perkukuhkan BI

Oleh Ayu Dalita Pendek

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Setelah tujuh tahun dilaksanakan dan terus menjadi isu hangat, kerajaan akhirnya mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada 8 Julai lepas. Ia adalah antara keputusan paling penting oleh Muhyiddin hanya tiga bulan selepas dilantik menerajui kementerian itu.

Pelantikan Muhyiddin ke jawatan itu menunjukkan betapa pentadbiran baru kepimpinan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan aspek pendidikan.

PPSMI bakal digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang menurut kerajaan, tidak merugikan mana-mana pihak sama ada yang menolak mahupun pun menyokong PPSMI kerana dasar baru itu bertujuan memberikan keseimbangan.

Katanya segala persiapan sudah bermula kerana kerajaan tidak mahu terjerumus lagi dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar diperkenalkan.

Bukan sekadar memansuhkan PPSMI, komitmen dan keikhlasan kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan terus diperlihatkan apabila lebih RM30 bilion diperuntukkan untuk bidang pendidikan menerusi Bajet 2010.

Kementerian itu juga meletakkan empat matlamat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan iaitu memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan guru besar berprestasi cemerlang.

Muhyiddin juga menekankan perbelanjaan sederhana bagi projek infrastruktur pendidikan, kerana baginya, peruntukan yang lebih seharusnya disalurkan untuk meningkatkan kualiti guru kerana guru yang benar-benar berkualiti lebih memberi manfaat berbanding infrastruktur fizikal yang tersergam indah.

Beliau juga mengumumkan pendidikan prasekolah bakal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan BI bermula dari peringkat awal selain untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada 2012.

Guru BI yang sedia berkorban untuk berkhidmat di luar bandar pula diberi insentif tambahan bagi memastikan pelajar di luar bandar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Pengetua dan guru yang berjaya menaikkan mutu pendidikan pelajar juga akan diberi imbuhan berpatutan.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diteruskan oleh kementerian untuk tingkatkan profesionalisme para pendidik di seluruh negara," katanya.

Cadangan sekolah satu aliran yang dikemukakan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menimbulkan perbahasan sehingga di Parlimen.

Ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri yang berpendapat sistem pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila rakyat bersedia dan dikehendaki semua pihak.

Muhyiddin pula menyifatkan sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini sebagai satu "takdir sejarah" yang hanya boleh diubah sekiranya semua kaum bersedia untuk menerima dan mengamalkan sistem aliran lebih bersepadu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyokong padu cadangan itu kerana beranggapan perpaduan yang terbaik hanya akan dapat dibentuk melalui pendidikan.

Meskipun wujud pelbagai isu, sistem pendidikan di Malaysia tetap mendapat pengiktirafan sebagai antara yang paling berjaya dalam menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam Laporan Pemantauan Global Pendidikan Untuk Semua 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-45 daripada 129 negara sekaligus menempatkan Malaysia dalam kalangan negara yang berada pada aras tinggi.

Pujian juga harus diberikan kepada seluruh penjawat awam di kementerian itu yang menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi dalam menangani permasalahan, termasuklah langkah bersiap sedia menghadapi wabak influenza A(H1N1) dan bencana banjir di sekolah.

Sumber: BERNAMA

Kementerian Kaji Aktiviti Sesuai Elak Pelajar Ponteng

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelajaran sedang mengkaji aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah untuk murid dan pelajar selepas tamat menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak mereka ponteng sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah ini perlu dilaksanakan untuk mengatasi gejala ponteng sekolah khususnya di kalangan mereka yang selesai menduduki peperiksaan itu.

"Antara faktor ponteng ialah apabila selesai peperiksaan (mereka) kena ada di sekolah, ini menyebabkan para pelajar bosan kerana tiada apa nak belajar... jadi mereka ponteng," katanya menjawab soalan tambahan Senator Zamri Yusof pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Beliau berkata kementerian juga melaksanakan Program Piawaian Keselamatan Sekolah yang memberi tumpuan kepada lima aspek termasuk pengurusan aktiviti murid, pengurusan keselamatan dalam menangani gejala sosial dan pengurusan keselamatan dalam menghadapi krisis dan bencana.

"Dengan adanya program ini, kita harap dapat mengenali apakah aktiviti sesuai kepada pelajar yang sedang tunggu keputusan peperiksaan tetapi diwajibkan berada di sekolah.

"Mungkin akan diadakan program motivasi, perkhemahan atau yang melibatkan aktiviti berkumpulan dan pertandingan. Ini akan mengelak murid bosan dan guru pun tidak bosan kerana tiada apa yang perlu diajar," katanya.

Ketika menjawab soalan asal daripada Senator Wan Ramlah Wan Ahmad mengenai kajian terperinci untuk mengetahui punca kegiatan ponteng sekolah yang masih berlaku walaupun pelbagai program diperkenalkan, Mohd Puad berkata kementerian bersetuju agar pendekatan secara holistik digunakan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

"Ini disebabkan faktor yang mempengaruhi salah laku itu adalah pelbagai dan tidak hanya berpunca daripada sekolah sahaja. Mengenai kes ponteng, kementerian mendapati peratus kes itu semakin menurun," katanya.

Sumber: BERNAMA

Kementerian Pelajaran Tanggung Kos Guaman Guru Hadapi Saman

IPOH, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan menanggung kos guaman dua guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang disaman keluarga tiga pelajar yang maut akibat tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang dekat sini 26 Okt lepas.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kedua-dua guru besar terbabit tidak perlu bimbang dalam menghadapi proses perundangan itu kerana kementerian akan membantu daripada segi kos peguam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita khamis selepas mengadakan perjumpaan dengan semua guru terbabit dalam program perkhemahan yang dianjurkan semasa tragedi itu.

Mohd Puad berkata beliau akan bertemu dengan semua guru terbabit dari semasa ke semasa bagi memberi perangsang kepada mereka yang masih tertekan dengan kejadian itu.

Beliau berkata tiga guru turut dipindahkan ke sekolah lain baru-baru ini kerana menghadapi trauma ekoran kejadian itu termasuk diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada 20 Nov lepas, bapa kepada tiga pelajar perempuan yang lemas akibat jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K.Mageswaran, K.Vasudevan dan T. Nathan menamakan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, gurubesar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang sebagai defendan.

Pihak lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Ibu Bapa Enggan Hantar Anak Tanpa Dokumen Ke Sekolah

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ada ibu bapa enggan menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang ditahan pihak berkuasa akibat tidak memiliki surat beranak.

Beliau berkata perkara itu sepatutnya tidak berbangkit kerana Ketua Kampung diberi kelonggaran untuk mengeluarkan surat pengesahan atau surat perakuan bagi membolehkan kanak-kanak, yang tidak mempunyai dokumen atau seorang daripada ibu bapa kanak-kanak itu adalah rakyat Malaysia, didaftar di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

"Pendidikan adalah suatu yang wajib di negara kita. Mungkin ada ibu bapa yang takut (kerana tidak mempunyai dokumen surat beranak) dan sebagainya, maka mereka tidak mendaftar anak-anak mereka ke sekolah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai tindakan yang diambil kementerian terhadap ibu bapa yang enggan menghantar anak-anak sekolah.

Mohd Puad berkata anak-anak pendatang disebabkan pelarian peperangan seperti pelarian Rohingya atau Kemboja, juga boleh diberi surat pengesahan Ketua Kampung.

"Kalau (anak-anak pelarian ini) tidak ada dokumen tetapi telah disahkan oleh ketua kampung kerana hanya ketua kampung mengenali mereka ini, maka dengan surat itu, kanak-kanak itu akan diterima masuk ke sekolah.

"Jadi, tidak timbul arahan mereka kena berjumpa dengan pegawai pendaftaran untuk diterima masuk ke sekolah...ini cukup jelas," katanya.

Mohd Puad turut menjelaskan bahawa Kementerian Pelajaran tidak akan menerima pendaftaran anak-anak pendatang tanpa izin untuk ke sekolah.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran mendapati masalah juga timbul apabila ada murid dari kalangan anak pelarian peperangan seperti pelarian Rohingya atau Kemboja yang tidak mengikuti sesi persekolahan kerana sering berpindah-randah atau ibu bapa enggan membayar yuran kepada pihak sekolah yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari kaum pendatang dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Oleh kerana suka berpindah-randah, maka berlaku gejala ponteng. Di samping itu, ibu bapa tidak sanggup membayar yuran tahunan persekolahan iaitu sebanyak RM120 untuk sekolah rendah dan RM240 untuk sekolah menengah," katanya.

Beliau berkata satu kajian menyeluruh mengenai "Pendidikan Kanak-kanak Tanpa Dokumen Pengenalan Diri di Malaysia" juga telah dijalankan oleh kementerian.

Sumber: BERNAMA

Rabu, 9 Disember 2009

Berita Baik Bagi Sekolah Pencapaian Tinggi, Kata Muhyiddin

Daripada M.Saraswathi

TOKYO, 8 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan berita baik bagi sekolah yang mencapai pencapaian tinggi dalam semua bidang, sebagai satu langkah yang diambil kerajaan untuk memperbaiki kualiti pendidikan.

"Saya ingin menawarkan sesuatu yang baru kepada guru besar dan guru. Jika guru besar dan guru mendapat pencapaian baik, sekeseluruhan sekolah itu akan mendapat manfaatnya, bukan hanya dengan memperbaiki mutu peperiksaan tetapi juga dalam ko-kurikulum, guru besar dan guru, kita akan beri insentif. Kita akan umumkan," kata beliau.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau akan mengumumkan 20 sekolah teratas dalam pencapaian di Malaysia tidak lama lagi.

Kerajaan sedang mengkaji kira-kira 10,000 sekolah dan telah mengadakan gred nya.

"Yang menarik ialah sesetengah sekolah ini yang tidak dianggap sebagai sekolah perdana, kini telah mendahului apa yang dipanggil sekolah perdana. Ini kerana disebabkan kualiti kepimpinan guru besar dan guru sekolah tersebut," katanya dalam ucapan semasa mengadakan perjumpaan dengan penuntut dan profesional Malaysia yang berada di Jepun.

Kini terdapat kira-kira 1,428 penuntut Malaysia di Jepun.

Beliau berkata kerajaan juga mahu pra-sekolah menjadi sebagai aliran penting dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun mempunyai minda yang boleh menerap dengan cepat apa-apa yang dididik.

"Kalau hendak mereka belajar bahasa apa sekali pun, mereka boleh belajar dengan cepatnya. Kalau kita mahu bahasa Inggeris, kita akan masukkan komponen Inggeris dan saya hendak pastikan pra-sekolah kita akan tambah," kata Muhyiddin.

Sekarang, hanya 67 peratus daripada kanak-kanak dalam lingkungan usia pra-sekolah yang menghadiri pra-sekolah.

"Kita hendak menjadikan peratusan itu kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun. Oleh itu, kerajaan akan menyediakan lebih banyak bilik darjah dan tenaga kerja. Kalau perlu latihan, kita akan berikan juga," katanya.

Bagi pihak swasta yang hendak mengadakan pra-sekolah, kerajaan akan memberi insentif, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga mahu menentukan bahawa murid-murid yang sudah belajar selama tiga tahun, mesti boleh membaca, menulis dan mengira.

"Ada yang masih buta huruf. Ada peratusan yang tidak boleh menguasai membaca, mengira dan menulis," katanya.

Muhyiddin yang kini dalam rangka misi pelaburan dan perdagangan ke Jepun, menasihatkan penuntut untuk mempelajari budaya bangsa Jepun khasnya mengenai etika kerja, ketepatan masa dan pengurusan masa.

Sumber: BERNAMA

Pengetua Dan Guru Besar Mungkin Diberi Kuasa Ambil, Pecat Guru

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Pengetua atau guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru di sekolah mereka pada masa depan, Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perkara itu akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk merevolusikan sistem pendidikan negara.

Selain itu, kementerian turut mewujudkan ba'iah baru untuk membawa perubahan yang dapat memberi kecemerlangan kepada sekolah-sekolah.

"Sekiranya pengetua atau guru besar perform, beliau akan mendapat ganjaran... tidak semestinya dalam bentuk kenaikan pangkat atau gaji. Ganjaran itu bergantung kepada kegigihan pengetua atau guru besar berkenaan dalam melakukan perubahan di sekolah mereka.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka boleh lakukan hire and fire...mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Parlimen.

Beliau berkata melalui revolusi sistem pendidikan itu, kementerian telah melakukan beberapa perubahan termasuk mewujudkan banyak persaingan dengan memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengumumkan 20 sekolah yang diberi penarafan sekolah berprestasi tinggi.

Selain itu, katanya kementerian akan melakukan rombakan kepada sistem taksiran iaitu sekolah bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata memandangkan pendidikan merupakan sesuatu yang dinamik dan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Beliau turut disoal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai bagaimana kerajaan mahu memartabatkan profesion perguruan sebagai profesion pilihan pertama dan bukan yang terakhir seperti yang berlaku mutakhir ini.

"Sebab itu, kita mesti berusaha menukar pemikiran guru supaya mereka melihat pendidikan sebagai perjuangan untuk memberi keadilan kepada rakyat," kata Mohd Puad.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak akan mengubah dasar sedia ada cuma pendekatannya yang berbeza.

"Saya yakin kalau perubahan minda ini dapat dilakukan, kita akan berjaya," katanya.

Kepada soalan lain, Mohd Puad menafikan migrasi sesetengah pihak ke luar negara dalam bidang pendidikan kerana rasa tidak selesa dengan sistem pendidikan negara.

"Saya ragu dengan hujah Ipoh Timur bahawa mereka migrasi ke luar negara kerana tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan kita...mereka ini migrasi kerana melihat kepentingan kebendaan dan disebabkan pekerjaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata walaupun terdapat dakwaan bahawa sistem pendidikan kebangsaan gagal melahirkan pakar, ilmuan dan sebagainya, angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie adalah produk sistem itu.

"Sepatutnya kita berbangga dengan dasar pendidikan kebangsaan kita," katanya.


Sumber: BERNAMA

Isnin, 7 Disember 2009

Muhyiddin Mahu Sukan Jadi Kokurikulum Wajib Di Sekolah

MUAR, 7 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Berucap pada majlis makan malam bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Muar, di sini malam ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penekanan terhadap sukan menjadi dasar baru kementeriannya bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.

"Kokurikulum ada macam-macam sama, ada sukan dan bukan sukan yang termasuk kelab, persatuan dan badan beruniform. Saya hendak ubah sikit dasar. Yang wajib ialah sukan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika menuntut di sekolah berkenaan di Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas, pada 1965 dan 1966.

Muhyiddin berkata kementerian mahu mengembalikan kegemilangan bidang sukan di setiap sekolah dan ganjaran serta insentif akan diberikan bagi mencapai tujuan berkenaan.

"Kita tidak mahu cemerlang di dalam akademik sahaja, tetapi mesti juga dalam bidang yang lain. Kita mahu bawa balik sukan ke sekolah-sekolah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang mengibaratkan kepulangannya ke sekolah yang ditubuhkan pada 1902 itu sebagai "sirih pulang ke gagang" berkata sekolah berkenaan banyak melahirkan kenangan manis kepada beliau sehingga berjaya pada hari ini.

Beliau berkata antara kenangan manis itu ialah berpeluang menyertai pementasan teater "Uda dan Dara".

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam ketika bersekolah, Muhyiddin berkata jasa guru-guru di sekolah berkenaan tidak akan beliau lupakan walaupun beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin turut merasmikan muzium warisan Sekolah Tinggi Muar dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menubuhkan kumpulan pancaragam Sekolah Tinggi Muar.

Sumber: BERNAMA

Sabtu, 5 Disember 2009

Inovasi Dalam Pendidikan Perlu Dijana Semaksimum Mungkin

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Inovasi dalam sektor pelajaran perlu dijana semaksimum mungkin bagi mengekang peningkatan kadar kemiskinan akibat pengurangan peruntukan kerajaan kepada sektor itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata memandangkan pelajaran adalah enjin kepada kemajuan ekonomi dan mobiliti sosial, banyak negara kini menukar tumpuannya kepada sektor pelajaran sebagai penawar untuk mengukuhkan persaingan, peluang pekerjaan dan perpaduan sosial.

"Dalam era krisis ekonomi global yang sedang kita hadapi ini, sektor pelajaran seluruh dunia turut mengalami kesan daripada segi agihan peruntukan bajet negara.

"Oleh itu, guru perlu lebih kreatif dan inovatif dan perlu menambah beberapa dimensi lain kepada pengajaran," katanya dalam teks ucapan Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Inovasi Pendidikan Islam yang dibaca oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Asariah Meor Shaharuddin di Subang Jaya dekat sini Jumaat.

Puad berkata inovasi dalam sektor pelajaran juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet baru-baru ini yang menegaskan Malaysia perlu beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi dalam usaha untuk memastikan negara dapat terus berasing dan relevan dalam persaingan ekonomi global.

Oleh itu, Puad berkata kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia yang merangkumi Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Petunjuk Prestasi Utama cuba untuk mentransformasikan Malaysia melalui proses inovasi yang menyeluruh.

"Ia meliputi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan, inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial, inovasi penjenamaan dan tidak ketinggalan inovasi pendidikan," katanya.

Beliau berkata perubahan inovasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi yang baru, perubahan sistem dan prosedur kerja yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos sekaligus mampu meningkatkan penghasilan produktiviti atau hasil kerja dan perkhidmatan.

Katanya Kementerian Pelajaran juga telah mewujudkan semula pertandingan Anugerah Inovasi untuk memberi pengiktirafan kepada bahagian atau institusi pendidikan yang menunjukkan prestasi cemerlang melalui inovasi yang dilaksanakan.

Sumber: BERNAMA

Rabu, 2 Disember 2009

Muhyiddin Lancar Dokumen Standard Guru Malaysia

TAWAU, 2 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan, semua guru diperlukan memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme perguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

"Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen penting standard guru yang mesti dicapai oleh setiap guru di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata bahawa hanya dengan memiliki ketiga-tiga komponen penting itu, guru-guru dapat mencapai tahap kompetensi yang tinggi dan sekaligus melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Saya percaya bahawa Standard Guru Malaysia akan menjadi sumber rujukan yang penting bukan sahaja untuk menghasilkan guru yang kekal berkualiti tetapi juga menambah baik dasar, perancangan dan pembangunan sistem pendidikan negara," katanya.

Muhyiddin turut merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Tawau berharga RM87 juta.

Beliau berkata bahawa dalam usaha kerajaan untuk memastikan standard guru di negara ini mencapai standard yang ditetapkan, aspek latihan dan perkembangan profesionalisme guru perlu diberi perhatian utama.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua institusi latihan perguruan di negara ini supaya terus menggembeleng tenaga untuk menyediakan program latihan perguruan berkualiti di samping sentiasa menambah baik baik infrastruktur dan infostruktur sedia ada secara berterusan.

Katanya semua warga pendidik terdiri guru, guru besar, pengetua dan pengurus serta pentadbir institusi latihan perguruan, mesti mengguna pakai garis panduan yang telah ditetapkan dalam dokumen SGM untuk memastikan kualiti pendidikan negara dapat ditingkatkan secara berterusan.

Bercakap kepada pemberita kemudian Muhyiddin berkata Malaysia mahu menjadi antara negara terbaik di dunia dalam bidang pelajaran. "Untuk itu, mestilah ada tanda aras tertentu," katanya.

Mengenai masalah kekurangan infrastruktur yang boleh menjadi kekangan untuk mencapai objektif SGM itu, Muhyiddin berkata kerajaan menyedari perkara berkenaan dan sedang mengatasinya secara berperingkat dan berterusan.

Beliau mengakui bahawa pencapaian seseorang guru boleh dipengaruhi oleh masalah infrastruktur sekolah namun fokus bagi meminimumkan kesan masalah itu termasuk di Sabah dan Sarawak akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya usaha berkenaan bukan sahaja berkaitan dengan SGM tetapi juga bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar dalam segala aspek.

Sumber: BERNAMA

Buku Teks Sekolah Lebih Baik Daripada Buku Rujukan Komersial - Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa buku teks yang digunakan di sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersial.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata buku rujukan komersial lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata berbanding buku teks yang dipilih, ditulis, disusun dan disesuaikan selaras dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

"Penyediaan buku teks juga disusun dengan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

"Hal ini juga untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, buku teks yang digunakan di sekolah lebih baik dari buku rujukan komersial," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana kebenaran buku rujukan komersial lebih baik daripada buku teks yang digunakan di sekolah.

Menjawab soalan tambahan Ismail sama ada buku teks yang digunakan di sekolah tidak merangsang kefahaman pelajar dan sama ada proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah Cina lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Mohd Puad berkata untuk merangsang kefahaman pelajar ia bergantung kepada kaedah pengajaran guru.

"Sebenarnya buku teks dikaji setiap dua tahun sekali dan jika ada keperluan untuk membuat perubahan, kita akan buat. Selain buku teks, kita juga menyediakan buku bacaan tambahan.

"Jadi tak benarlah dikatakan buku teks kita lapuk dan ketinggalan tapi dalam soal tak merangsang pelajar, ia bergantung pada keupayaan guru untuk memberi kefahaman pada pelajar menggunakan sumber dari buku teks itu.

"Soal kaedah pengajaran di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), kita kena faham bahawa banyak pandangan diberi dalam perkara ini. Kejayaan cemerlang di SRJKC adalah kerana mereka mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, sebab itu kita tak teruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu sama ada fakta sejarah yang sebenar tidak dicatatkan dalam buku sejarah, Mohd Puad berkata perkara itu adalah tidak benar.

"Kita tidak politikkan sebab kita gunakan pakar-pakar dari universiti dan guru-guru pakar yang akan meneliti fakta dalam sejarah. Kita tidak akan ubah fakta untuk menyenangkan hati dua atau tiga orang," katanya.

Sumber: BERNAMA

Isnin, 30 November 2009

Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010

PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010, di sini.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk meneliti secara dekat persiapan untuk menghadapi sesi baru persekolahan tahun depan, selain memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan segala isu yang wujud yang melibatkan pelbagai aspek seperti infrastuktur, perabot dan peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir, demikian menurut kenyataan Kementerian Pelajaran.

Isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 telahpun dikenal pasti oleh Jawatankuasa Task Force Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dengan menggunakan instrumen Database Laporan Akhir Tahun (dBLAT).

Jawatankuasa itu juga turut mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.

"Komitmen kementerian adalah untuk memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja/kerusi dan satu set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat tersebut turut disertai oleh semua pengarah pelajaran negeri dan ketua jabatan Kementerian Pelajaran.

Jumaat, 24 Julai 2009

SMM Tingkatkan Kecekapan Pengurusan Data Pelajar

PULAU PINANG 24 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini melancarkan Sistem Maklumat Murid (SMM) Versi 4 untuk memudahkan guru-guru mencerap pelbagai maklumat berkaitan murid dalam usaha meningkatkan aplikasi pengurusan data pelajar dengan lebih cekap.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, SMM Versi 4 itu sudah melalui proses penambahbaikan dan pengubahsuaian daripada tiga versi sebelumnya.

“Dengan versi terbaru guru tidak perlu mengisi maklumat yang sama mengenai murid menggunakan borang biasa berulang kali dan penggunaan teknologi maklumat dapat memudahkan urusan berkenaan, dengan maklumat boleh diketahui segera,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, di sini. - Bernama

Ahad, 19 Julai 2009

Cadangan Mansuh UPSR

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
muzdalifah.mustapha@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 18 Julai – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran.

Sebaliknya, UPSR menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan kepada lima mata pelajaran.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan supaya UPSR yang tidak lagi relevan pada masa ini dimansuhkan.

“Sepatutnya murid-murid menumpukan kepada semua mata pelajaran termasuk Sejarah yang dianggap penting pada masa kini.

“Sebaliknya UPSR hanya menumpukan pada mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pemuda UMNO Bahagian Cheras 2009 di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Razali berkata, cadangan pemansuhan itu berikutan kebimbangannya berikutan isu generasi muda yang kurang pengetahuan dalam sejarah dan agama.

“Lihat saja dalam isu Chin Peng. Ramai generasi muda tidak faham mengenainya. Kita tidak mahu mereka membuat kesilapan dalam hidup mereka sekali gus kepada negara,” katanya.

Ditanya sama ada UPSR perlu digantikan dengan peperiksaan lain, katanya, beliau yakin Kementerian Pelajaran akan menentukan kaedah yang terbaik.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kerajaan sepatutnya mengalihkan tumpuan murid-murid daripada terlalu mengejar tempat di sekolah berasrama penuh kepada mempelajari dan menguasai kesemua mata pelajaran.

Katanya, tidak semestinya sekolah berasrama penuh boleh melahirkan pelajar terbaik sebaliknya terdapat banyak sekolah biasa yang telah terbukti mampu mencatat pencapaian lebih cemerlang.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memilih pelajar terbaik dari setiap sekolah di seluruh negara untuk memasuki asrama penuh kerana kaedah itu lebih adil.

Dalam perkembangan lain, Razali meminta pakatan pembangkang supaya berhenti mengadakan bantahan berikutan kematian setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Beliau berkata, pembangkang sengaja membuat kecoh bagi mengalihkan tumpuan rakyat terhadap siasatan bagi kes beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang didakwa menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling.

“Saya tidak mengatakan kedua-dua kes itu mempunyai kaitan tetapi jangan kita lupa bahawa negara perlu menyelesaikan isu besar salah guna kuasa itu,” ujar beliau.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

PPSMI Satu Kesilapan - Ungku Aziz

Mukadimah

Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.

Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.

Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.

“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.

“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.

MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.

Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.

Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?

Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.

Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.

Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.

Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.

Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.

Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.

Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.

Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.

Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.

Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.

Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.

Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.

Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.


Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.

Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.

Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.

Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.

Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?

Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.

Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.

Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

Sumber :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Kurikulum Baru Mantapkan Bahasa Inggeris Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat rendah serta menengah selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan pelbagai kaedah pengajaran sedia ada dan tambahan termasuk muzik, sastera, 'choral speaking' dan sebagainya.

"Pihak kementerian akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut selepas duduk semeja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan serta pakar-pakar dalam bahasa Inggeris bagi merangka kertas konsep (cadangan) untuk diteliti, kita anggarkan empat hingga lima bulan bagi menyiapkan kurikulum itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pakar-pakar bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara turut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulum itu.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Memartabatkan Profesion Keguruan yang dihadiri guru, kesatuan guru serta NGO dari seluruh negara.

Seminar dua hari anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan masalah serta mencari hala tuju baru bagi profesion keguruan.

Alimuddin berkata, keputusan untuk memperkenalkan kurikulum baru itu dibuat berikutan pengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengarahkan PPSMI diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Katanya, kementerian juga sedang dalam peringkat menyediakan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) termasuk di Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menggunakan 100 peratus Bahasa Inggeris dalam pembelajarannya.

"Ini bagi menyediakan bakal-bakal guru berkenaan agar menguasai sepenuhnya bahasa itu sebelum mengajar dan proses penyediaan ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun," katanya lagi. - BERNAMA


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

IPT Digalak Hasilkan Buku Dalam Bahasa Melayu

SHAH ALAM 17 Julai - Kerajaan sentiasa menggalakkan para peneraju institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menghasilkan buku berbahasa Melayu bagi memartabatkannya sebagai bahasa ilmu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, naib-naib canselor, timbalan naib canselor dan dekan-dekan wajar berbuat demikian supaya menjadi teladan kepada pensyarah muda untuk berkarya dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata, mereka juga boleh menghasilkan tulisan separa ilmiah mengenai masalah kehidupan manusia dan cara-cara untuk menyelesaikannya selain tulisan berbentuk ilmiah.

"Pemimpin politik, kerajaan dan masyarakat biasa sangat dahagakan buku dalam bahasa Melayu hasil tulisan ilmuwan tempatan yang dapat memberikan formula bagi mengatasi setiap permasalahan.

"Kita berhadapan masalah kita sendiri, tentu lebih baik kalau ada tulisan dalam bahasa Melayu dan ditulis oleh orang tempatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan MPH Mutiara Minda dan melancarkan buku Bisik Warna karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, di sini semalam.

Saifuddin juga meminta pengurusan universiti menambah bahan bacaan terkini dalam bahasa Melayu di perpustakaan masing-masing termasuk buku yang ditulis oleh ilmuwan tempatan.

Katanya, syarikat-syarikat swasta yang terbabit dalam penjualan, pengedaran dan penerbitan buku juga perlu membantu kerajaan mempromosikan buku bahasa Melayu.

"Jika semua ini dapat dijayakan, usaha untuk memartabatkan buku-buku berbahasa Melayu di kalangan rakyat pasti akan tercapai," jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, kementeriannya akan bekerjasama dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menganjurkan jelajah bersama A. Samad Said di universiti seluruh negara.

Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan memperkenalkan buku Bisik Warna yang disifatkan amat tepat dengan proses perkembangan mahasiswa.

Buku Bisik Warna setebal 108 halaman itu diterbitkan bersama oleh ITNM dan Wira Bukit Sdn. Bhd.

Ia memuatkan lukisan A. Samad Said yang diselang-seli dengan kata-kata hikmat.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Guru Digalak Ajar Dalam Dwi Bahasa

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 15 Julai - Guru mata pelajaran Sains dan Matematik digalakkan untuk terus mengajar dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sehingga 2012.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini untuk mengelakkan murid-murid mengalami kekeliruan terhadap istilah yang terdapat dalam mata pelajaran tersebut setelah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.

Katanya, pendekatan sedemikian perlu bagi membolehkan para guru memberikan perkhidmatan terbaik mereka.

''Selain itu, pengumuman 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris merupakan tindakan yang wajar.

''Justeru, tindakan untuk menggunakan kembali khidmat guru Bahasa Inggeris yang telah bersara adalah bersesuaian memandangkan mereka mempunyai tahap penguasaan yang lebih baik disebabkan pengalaman mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Nilam Kebangsaan 2009 di sini semalam.

Anugerah Nilam yang diadakan sejak 2003 telah berjaya melahirkan tokoh murid yang boleh dijadikan model ke arah meningkatkan amalan pembacaan dan menjadi pelajar cemerlang.

Sementara itu, Alimuddin berkata, ibu bapa perlu meluaskan ruang lingkup pembacaan anak-anak mereka supaya tidak tertumpu kepada bahan bacaan peperiksaan sahaja.

Katanya, dengan bahan bacaan yang pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman pelajar akan dapat diperkasakan untuk menjadi insan cemerlang.

Dalam pada itu, Tokoh Nilam Kebangsaan 2009 Kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh Nur Razlina Rozi yang membaca sebanyak 500 buah buku di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Dia berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil dan piala iringan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu itu berkata, dia gemar membaca buku berkaitan falsafah dan sejarah ketika berada di perpustakaan.

''Jika ada masa yang terluang, saya akan mengambil peluang membaca buku dan majalah," katanya yang berazam melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Muhammad Adam Faliq Abd. Ghani terpilih sebagai Tokoh Nilam Kebangsaan 2009 Kategori Sekolah Rendah.

Pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Peramu Jaya, Pekan itu berjaya membawa pulang sijil, piala iringan dan wang tunai RM700.

''Untuk pertandingan kali ini, saya banyak membaca buku dan majalah berkaitan isu semasa untuk meningkatkan mutu pembacaan dan pengetahuan,'' katanya yang membaca sebanyak 495 buah buku.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Kesusasteraan Inggeris Di Sekolah Rendah dan Menengah Tahun Depan

KOTA KINABALU 15 Julai - Kerajaan akan memperkenalkan semula mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah dan menengah tahun depan bagi memantap penguasaan pelajar dalam bahasa itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) baru-baru ini.

''Langkah ini tepat pada masanya kerana Sains dan Matematik tidak akan diajar lagi dalam bahasa Inggeris, jadi kita memperkenal semula mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris,'' katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah-sekolah Malaysia (PPSSM) 2009 kali ke-31 di Hotel Beverly, di sini semalam.

Mohd. Puad berkata, usaha lain yang akan dilakukan kerajaan bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut termasuk mengambil 600 guru pencen secara kontrak dan 1,000 guru asing dari Australia dan Britain.

Menurutnya, ketika ini, terdapat 38,000 guru bahasa Inggeris di seluruh negara dengan hanya 900 orang guru pakar dalam bahasa berkenaan.

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, 600 orang ditempatkan di sekolah menengah sementara bakinya di sekolah rendah.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Rabu, 8 Julai 2009

BM Dimartabat, BI Dimantap - Muhyiddin

PUTRAJAYA 8 Julai — Kerajaan hari ini memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dimartabatkan dan Bahasa Inggeris (BI) dimantapkan di semua peringkat persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu Kementerian Pelajaran akan melaksanakan beberapa langkah untuk memantapkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum mata pelajaran itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa.

“Ia akan dilaksanakan di kalangan murid melalui pendekatan modular bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

“Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. — BERNAMA