Khamis, 23 April 2009

Larangan Telefon Bimbit Di Sekolah

Laporan yang diambil dari laman Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Laporan bertarikh 19 Mac 2009 menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit di kalangan murid di sekolah.

"Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menengani Gejala Disiplin 1/2009 pada 17 Mac 2009 menetapkan antara lainnya ialah untuk menguatkuasa sepenuhnya larangan murid membawa telefon bimbit ke sekolah. Dasar melarang murid membawa telefon bimbit ke sekolah hendaklah dikuatkuasakan. YB Datuk Dr. Wee Kah Siong, Timbalan Menteri Pelajaran yang mempengerusikan mesyuarat menyatakan bahawa Isu-isu di sekolah kebelakangan ini berpunca dari murid mengguna telefon untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat umum dengan pantas dan meluas. Dalam banyak keadaan maklumat yang diterima tidak tepat dan disalah tafsir. Lain-lain keputusan mesyuarat tersebut ialah:

Maklumat yang diberikan kepada masyarakat umum tidak diyakini oleh sesetengah pihak. Perlu difikirkan pendekatan yang lebih baik bagaimana persembahan maklumat serta elemen-elemen yang berkaitan dengannya dapat mengangkat keyakinan semua pihak.

Peranan guru kaunseling perlu diberi tumpuan bagi membantu mendidik murid dari aspek pembangunan sahsiah dan mengurangkan masalah disiplin. Jumlah guru kaunseling yang dilantik di sesebuah sekolah perlu berdasarkan kepada situasi disiplin yang dihadapi oleh sekolah. Norma 1:500 hanya sesuai dijadikan asas pelantikan guru kaunseling bagi sekolah-sekolah yang tidak menghadapi masalah disiplin yang kritikal.

Senarai aktiviti yang dicadangkan sebagai pengisian kempen menangani gejala disiplin di sekolah dipersetujui. Perbelanjaan hendaklah berdasarkan kepada amaun yang telah diperuntukkan (RM 5.2 juta). Jika terdapat sebarang tambahan peruntukan, maka bolehlah aktiviti-aktiviti tambahan atau yang tidak dapat dilaksanakan pada peringkat awal diteruskan.

Pewujudan Unit Khas Disiplin yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2006 hendaklah dilaksanakan. Kertas kerja yang telah diserahkan kepada Bahagian Sumber Manusia perlu diambil tindakan dan dipastikan penubuhan unit seperti yang diputuskan.

Isu warden asrama perlu diatasi segera bagi tujuan meningkatkan perkhidmatan pengawasan dan pengendalian kebajikan dan keselamatan penghuni asrama. Petugas asrama perlu mempunyai status tugas sepenuh masa dan menerima kemudahan yang menarik seperti tempat tinggal yang sesuai, elaun yang setimpal dan bilangan pegawai yang sepadan.

Kehadiran polis di sekolah sekali-sekala memberi kesan yang positif kepada peningkatan suasana disiplin di sekolah. Walaupun begitu pihak polis berpandangan bahawa kehadiran polis di sekolah hendaklah dilihat dari perspektif menawarkan bantuan bukan ancaman (fear) kepada murid."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.